SIFAT-SIFAT ORANG YANG HIDUP UNTUK ISLAM

Assalamu'alaikum sahabat nisa'.Dah lama tidak berpeluang menyusun kata-kata untuk dikongsi dengan semua. Kali ini nisa' ingin memberi motivasi dan semangat kepada sahabat nisa' dalam apa jua kerja yang antunna lakukan. Apabila saya memilih untuk hidup secara Islam dan untuk Islam, maka kehidupan saya mestilah mengikut lunas-lunas Islam dan corak yang dapat membezakannya dengan kehidupan orang lain.Di antara lunas-lunas dan corak tersebut ialah: 1. Berpegang teguh kepada Islam secara praktik. 2. Mencari dengan teliti sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada Islam. 3. Merasa bangga dengan kebenaran dan kepercayaan kepada Allah swt 4. Beriltizam dengan amal-amal Islam dan bekerjasama dengan orang-orang yang beramal untuk Islam, kerana dengan menganut agama Islam, saya telah diwajibkan oleh Islam beramal dan bekerja bersama-sama dengan jamaah

TIPS UNTUK DIKONGSI;PANDUAN MENDIDIK ANAK-ANAK


Most beautiful word is ALLAH.
Most beautiful song is AZAN.
World's perfect encyclopedia is AL-QURAN.
Best exercise is PRAYING.
Best diet is FASTING.



Langkah-langkah memperbaiki kesilapan ketika menegur anak:

Dalam usaha menjalankan tanggungjawab mendidik anak-anak, kadang kala kita tersilap dari segi kaedah menegur mereka.
Antara kesilapan yang mungkin kita lakukan ialah:

Pertama: Menggunakan ayat yang berbentuk negatif.Umpamanya,"kenapalah awak ni malas sangat nak baca buku?"Kritikan ini jika diulangi selalu akan menjadi kenyataan kerana perkataan ibu bapa terhadap anak-anak adalah doa yang makbul. Dari segi psikologi, kritikan yang negatif akan membentuk minda anak yang negatif.

Kedua:Teguran berulang kali tetapi tidak memastikan anak mengikut teguran kita.Contohnya, anak yang sedang menonton televisyen disuruh pergi bersiap untuk bersolat. Kita mesti memastikan mereka terus melakukan arahan kita. Jangan ulangi arahan tersebut beberapa kali. Ini kerana teguran yang sama beberapa kali akan menjadi leteran dan akan membawa 2 kesan besar. Pertama, mungkin anak akan benci kepada leteran ibu bapa. Kedua, sikap hormat anak-anak kepada ibu bapa akan berkurangan. Ibu bapa mestilah konsisten menegur anak-anak yang melakukan kesalahan yang sama. Contoh jika hari ini kita menegur anak mengeluarkan perkataan tidak sopan kepada kawannya, jika esok dia sebutkan lagi kita mesti tegur juga. Teguran yang tidak konsisten akan menyebabkan anak keliru.

Ketiga:Memberikan ancaman atau ugutan. Anak yang masih di dalam proses tumbesaran jika selalu diugut akan menjadikannya seorang yang penakut apabila dewasa kelak.Lebih buruk lagi jika tabiat mengugut itu diwarisinya pula apabila telah dewasa kerana kebiasaanya anak-anak mewarisi tingkahlaku ibu bapanya atau penjaganya.

Keempat dan terakhir, sudahi usaha kita dengan doa dan tawakkal kepada Ilahi. Hanya Allah swt sahaja yang berkuasa mengubah hati mereka. Kita hanya mampu berusaha dan buat sebaik mungkin. Jika perangai anak kita tetap tidak berubah, bersabar dan letakkan sepenuh pengharapan hanya kepadaNya, Insyaallah sama ada cepat atau lambat Allah swt akan tunaikan permintaan kita. Semoga kita dapat mendidik anak-anak kita menjadi soleh dan solehah.

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SPM!


Peperiksaan SPM akan bermula pada 14hb November 2011 iaitu pada hari Isnin bermula dengan kertas Bahasa Melayu. Selamat menghadapi peperiksaan SPM untuk adik-adik di Saujana Utama dan di mana-mana sahaja seluruh Malaysia. Semoga anda semua akan berjaya dengan cemerlang. Tenangkan jiwa, lapangkan dada dan perbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan berdoalah kepada Ilahi semoga dipermudahkan segala urusan. Jangan lupa mohon kemaafan daripada ibu bapa dan doa restu mereka serta guru-guru agar ilmu diberkati.

GAMBAR KENANGAN PROGRAM REMAJA PEREMPUAN SURAU AL-HIDAYAH SAUJANA UTAMA

Program Remaja Perempuan Surau al-Hidayah Saujana Utama.
Diadakan pada April 2011.
Anjuran Biro Wanita Surau al-Hidayah, Saujana Utama.

Gambar 1: Sebahagian urusetia program bergambar bersama ketua muslimat Surau al-Hidayah; Ustazah Wan Noriah.

Gambar 2,3 & 4: Ucapan Penutup dan Majlis Penyampaian sijil penyertaan oleh Pengerusi Surau al-Hidayah;En. Abdul Mofti b Jantan.

Gambar 5: Pembentangan Latihan Dalam Kumpulan.

Gambar 6: Berkongsi ilmu dan pengalaman dengan penceramah.

Gambar 7 & 8: Riadhah.

Gambar 9 & 10: Bengkel.











SELAMAT MENJADI TETAMU ALLAH


Labbaikallahhummalabbaik, labaikala syarikalakalabbaik, innalhamda, wanni'mata, lakawalmulk,la syarikalak....ucapan talbiah ini sudah mula kedengaran dengan tibanya musim pelaksanaan ibadah haji setiap tahun.Gembiranya menjadi tetamu Allah swt. Matlamat ke sana selain menyempurnakan rukun Islam kelima, ialah mendapatkan haji yang mabrur iaitu yang diterima oleh Allah swt. Antara ciri-ciri seseorang telah memperolehi haji yang mabrur antaranya ialah;
1.perubahan sikap; daripada baik menjadi lebih baik.
2.peningkatan amal ibadah.
3.perubahan watak dan penampilan diri.
4.sentiasa meletakkan Allah swt dan Rasulullah saw mengatasi segala-galanya.
5.memilih kehidupan bersederhana.
6.berbelanja mengikut keperluan bukan mengikut kehendak nafsu
dan banyak lagi...

Sebaliknya jika memperolehi haji yang mardud, maka kita dapat lihat pada watak seseorang selepas kembali dari tanah suci;
1.tiada perubahan sikap ke arah yang lebih baik atau masih di takuk yang sama.
2.tidak berkeinginan untuk memperbaiki amal ibadah agar menjadi lebih mantap.
3.sikap-sikap negatif seperti pemarah dan pentingkan diri tidak dapat dikawal.
4.masih mengutamakan hak-hak dunia.
5.hubbud dunya wa karahiatul maut.
6.hidup bermewah-mewahan sehingga membawa kepada pembaziran dan kelalaian, dan banyak lagi...

Kita pergi menunaikan haji mestilah dengan azam dan semangat jihad yang tinggi agar dapat melawan nafsu tidak baik yang sudah lama sebati dengan diri kita. Bukan senang untuk berpisah dengan diri kita yang dulu.Namun berdoa dan terus berdoa serta berharaplah agar Allah membantu dan memberikan kekuatan untuk melakukan yang terbaik.Haji itu wajibnya hanya sekali seumur hidup.Maka, betulkanlah nawaitu kita agar ibadah kita diterima Allah swt.
Kepada semua jemaah haji yang telah tiba di tanah suci dan akan berangkat, selamat menjadi tetamu Allah swt. Semoga memperolehi haji yang mabrur.

WANITA DAN BARANG KEMAS DARI EMAS DAN PERAK


Barang perhiasan terutama emas dan perak adalah sinonim dengan wanita. Kaum adam pun ada hati nak pakai barang kemas. Itulah antara tanda-tanda kecil kiamat.Namun ada beberapa perkara yang perlu diteliti.Antaranya dari sudut nilai gram yang kita miliki akan menentukan sama ada kita perlu atau tidak membayar zakat emas dan perak.Perkara ini jangan dipandang remeh kerana sepertimana harta-harta pemilikan yang lain seperti tanaman, ternakan, juga dikenakan zakat. Harta yang lebih itu adalah hak orang lain yang lebih memerlukan.Maka ia mestilah dizakatkan. Kalau kita rasa sayang, kembalilah menghayati firman Allah yang bermaksud;"...jika kamu bersyukur akan Ku tambah rezekimu dan jika kamu kufur sesungguhnya azabKu sangat pedih."
Emas dan perak wajib dizakatkan sekiranya cukup syarat. Bagi perak ia termasuk perhiasan atau barangan yang disimpan. Ia dikira mengikut harga 1 gram perak semasa. Ini adalah berdasarkan Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“…dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya (zakat) pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Taubah: ayat 34-35)
Begitu juga dengan Hadis Nabi S.A.W. riwayat daripada Muslim yang bermaksud:
"Tidak ada seorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan ke lambung, dahi dan belakangnya, setiap kali ia sejuk dipanaskan semula, pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hambaNya.”
(Riwayat Muslim)
Emas yang disimpan dan dipakai wajib dizakatkan sekiranya cukup syarat. Emas yang disimpan bermaksud emas yang tidak digunakan atau tidak dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram. Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada nilai emas semasa sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya.
Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) sekali-sekala atau secara berterusan dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Walau bagaimanapun jika ia melebihi 'uruf maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar 2.5% atas nilai emas yang dipakai. Kadar uruf emas di negeri Selangor ialah sebanyak 800 gram. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja dan tidak termasuk batu permata atau seumpamanya.
Barang kemas yang dipakai tidak dikenakan zakat selagi ianya tidak melebihi had pemakaian yang dibenarkan. Di Selangor, zakat akan dikenakan sekiranya barang kemas yang dipakai itu melebihi 800 gram.

RAMADAN...PERGIMU DITANGISI

Dah hampir satu minggu kita melalui tarbiyah dari Madrasah Ramadan. Semoga tempoh sebulan latihan yang sedang dan akan kita jalani dapat mendidik jiwa dan ruh kita agar menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Wahai puteriku sayang, sahabat-sahabat muslimah dan semua yang membaca blog ini, marilah kita memanfaatkan hari-hari yang akan kita lalui ini dengan sebaik mungkin. Menimba ilmu untuk memperkukuhkan pertahanan dalaman untuk kita lalui sebelas bulan yang akan tiba selepas Ramadan.Banyak cabaran,mehnah dan permintaan hawa nafsu yang mendambakan pelbagai permintaan;pakaian, kuih-muih, makanan dan minuman serta bermacam-macam yang nafsu minta dari kita. Kadang-kadang iman kita tak mampu menepisnya.Layanlah nafsu kita berpada-pada. Jangan sampai kita menjadi hamba nafsu.
Muslimah solehah, sementara peluang Ramadan masih ada untuk kita kali ini,rebutlah tawaran dan ganjaran yang masih terbuka luas. Jika Ramadan kita dapat makanan ruhani tiap hari dengan santapan ilmu, apalah salahnya semangat itu diteruskan selepas Ramadan. Pentingnya makanan ruhani itu umpama 'supplement' untuk menguatkan ruhani kita daripada serangan dan bisikan syaitan serta godaan hawa nafsu. Selain itu, ia dapat menguatkan iman kita dan mencantikkan budi pekerti kita. Sebagaimana kita peka kepada kecantikan dan kesihatan luaran seperti bersenam, makan vitamin, dan menjaga kecantikan tubuh badan dan rupa paras dengan perlbagai produk demi menjamin keacntikan dan kesihatan yang berpanjangan, begitulah lebih penting lagi kita menjaga kecantikan ruhani untuk mempersiapkan diri mengadap yang Esa pada bila-bila masa sahaja.
Kita menjaga kecantikan dan kesihatan kerana beberapa sebab, pertama kerana kita seorang yang peka kepada kecantikan dan kesihatan. Kedua, mungkin kerana ingin tampil cantik dan ceria di depan pasangan. Namun jangan lupa, ruhani kita juga kena cantik untuk mengadap Tuhan. Muslimah solehah mestilah pandai menyeimbangkan kesemua keperluan tersebut untuk mencapai keredaan Allah swt. Ingatlah bahawa kita hidup untuk mencari reda Tuhan, bukan reda manusia kerana dalam banyak hal kita lebih menutamakan reda manusia berbanding reda Tuhan.
Akhir kalam, selamat menjalani ibadah puasa Ramadan. Semoga kita pada Ramadan kali ini lebih baik daripada Ramadan yang telah lalu.Mari kita hayati kata-kata Sahabat Nabi Muaz bin Jabal r.a “Pelajarilah oleh kalian ilmu, kerana sesungguhnya mempelajarinya kerana Allah adalah khasy-yah; mencarinya adalah ibadah; mempelajarinya dan mengulangnya adalah tasbih; membahasnya adalah jihad; mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedekah; memberikannya kepada keluarganya adalah pendekatan diri kepada Allah; kerana ilmu itu menjelaskan perkara yang halal dan yang haram; menara jalan-jalannya ahlul jannah, dan ilmu itu sebagai penenang di saat was-was dan bimbang; yang menemani di saat berada di tempat yang asing; dan yang akan mengajak bicara di saat sendirian; sebagai dalil yang akan menunjuki kita di saat senang dengan bersyukur dan di saat tertimpa musibah dengan sabar; senjata untuk melawan musuh; dan yang akan menghiasainya di tengah-tengah sahabat-sahabatnya.