RAMADAN...PERGIMU DITANGISI

Dah hampir satu minggu kita melalui tarbiyah dari Madrasah Ramadan. Semoga tempoh sebulan latihan yang sedang dan akan kita jalani dapat mendidik jiwa dan ruh kita agar menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Wahai puteriku sayang, sahabat-sahabat muslimah dan semua yang membaca blog ini, marilah kita memanfaatkan hari-hari yang akan kita lalui ini dengan sebaik mungkin. Menimba ilmu untuk memperkukuhkan pertahanan dalaman untuk kita lalui sebelas bulan yang akan tiba selepas Ramadan.Banyak cabaran,mehnah dan permintaan hawa nafsu yang mendambakan pelbagai permintaan;pakaian, kuih-muih, makanan dan minuman serta bermacam-macam yang nafsu minta dari kita. Kadang-kadang iman kita tak mampu menepisnya.Layanlah nafsu kita berpada-pada. Jangan sampai kita menjadi hamba nafsu.
Muslimah solehah, sementara peluang Ramadan masih ada untuk kita kali ini,rebutlah tawaran dan ganjaran yang masih terbuka luas. Jika Ramadan kita dapat makanan ruhani tiap hari dengan santapan ilmu, apalah salahnya semangat itu diteruskan selepas Ramadan. Pentingnya makanan ruhani itu umpama 'supplement' untuk menguatkan ruhani kita daripada serangan dan bisikan syaitan serta godaan hawa nafsu. Selain itu, ia dapat menguatkan iman kita dan mencantikkan budi pekerti kita. Sebagaimana kita peka kepada kecantikan dan kesihatan luaran seperti bersenam, makan vitamin, dan menjaga kecantikan tubuh badan dan rupa paras dengan perlbagai produk demi menjamin keacntikan dan kesihatan yang berpanjangan, begitulah lebih penting lagi kita menjaga kecantikan ruhani untuk mempersiapkan diri mengadap yang Esa pada bila-bila masa sahaja.
Kita menjaga kecantikan dan kesihatan kerana beberapa sebab, pertama kerana kita seorang yang peka kepada kecantikan dan kesihatan. Kedua, mungkin kerana ingin tampil cantik dan ceria di depan pasangan. Namun jangan lupa, ruhani kita juga kena cantik untuk mengadap Tuhan. Muslimah solehah mestilah pandai menyeimbangkan kesemua keperluan tersebut untuk mencapai keredaan Allah swt. Ingatlah bahawa kita hidup untuk mencari reda Tuhan, bukan reda manusia kerana dalam banyak hal kita lebih menutamakan reda manusia berbanding reda Tuhan.
Akhir kalam, selamat menjalani ibadah puasa Ramadan. Semoga kita pada Ramadan kali ini lebih baik daripada Ramadan yang telah lalu.Mari kita hayati kata-kata Sahabat Nabi Muaz bin Jabal r.a “Pelajarilah oleh kalian ilmu, kerana sesungguhnya mempelajarinya kerana Allah adalah khasy-yah; mencarinya adalah ibadah; mempelajarinya dan mengulangnya adalah tasbih; membahasnya adalah jihad; mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedekah; memberikannya kepada keluarganya adalah pendekatan diri kepada Allah; kerana ilmu itu menjelaskan perkara yang halal dan yang haram; menara jalan-jalannya ahlul jannah, dan ilmu itu sebagai penenang di saat was-was dan bimbang; yang menemani di saat berada di tempat yang asing; dan yang akan mengajak bicara di saat sendirian; sebagai dalil yang akan menunjuki kita di saat senang dengan bersyukur dan di saat tertimpa musibah dengan sabar; senjata untuk melawan musuh; dan yang akan menghiasainya di tengah-tengah sahabat-sahabatnya.

Nisa' Menjana Minda

Pada tanggal 10 Julai 2011, Nisa' Saujana Utama telah dijemput untuk memberi tazkirah kepada remaja perempuan di salah sebuah surau di Saujana Utama. Kehadiran tidak begitu ramai tetapi pihak Nisa' seronok dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dengan adik-adik remaja. Terima kasih kepada pihak penganjur di atas kesudian menjemput Nisa' bagi mengisi slot dalam program berkenaan. Tajuk yang diberi untuk kupasan ialah Peranan Muslimah dalam Tuntutan Berdakwah. Adik-adik itu kelihatan bersemangat. Semoga perkongsian ilmu itu memberi manfaat kepada semua.

SELAMAT HARI GURU

Tanggal 16 Mei merupakan hari bersejarah yang disambut setiap tahun sebagai menghagai jasa dan pengorbanan warga pendidik. Selamat Hari Guru buat semua warga pendidik sama ada di taska, tadika,sekolah rendah atau menengah, IPTA dan IPTS!Bertuahnya anda apabila anda seorang pendidik di sekolah, anda mempunyai murid-murid yang apabila anda ditimpa kesusahan dan keuzuran mereka akan mendoakan kesejahteraan anda, apabila anda pergi mengadap tuhan, mereka membaca yasin untuk anda. Martabat guru sangat mulia kerana mereka adalah insan yang tidak pernah jemu mendidik anak-anak bangsa agar menjadi insan berjaya dan bahagia.

Jika anda yang membaca artikel ini merupakan seorang warga pendidik ataupun sebaliknya, marilah kita renung dan perhatikan kenapa hari ini anak-anak apabila berada di peringkat menengah atas, mereka kurang menghargai guru mereka berbanding anak-anak di sekolah rendah. Pandangan peribadi penulis sebagai analogi bahawa nilai itu hanya ditanam di peringkat sekolah rendah sahaja tetapi nilai itu menjadi kian pudar saban tahun apabila anak-anak mula meningkat remaja. Lebih-lebih lagi apabila tiada campurtangan dan sikap ambil berat ibu bapa di rumah. Bukan itu saja, kebanyakan kes yang berlaku di sekolah menengah, segelintir anak-anak remaja kurang menghormati guru apatah lagi guru wanita baik dalam tutur kata mahupun tingkahlaku.Ini ditambah lagi dengan kes-kes disiplin remaja yang semakin kronik dewasa ini. Tugas dan tanggungjawab guru semakin mencabar apabila mereka terpaksa mengawal emosi dan terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah anak-anak murid yang datang dari pelbagai latar belakang.

Oleh itu, kita sebagai ibu bapa perlu memberi sokongan kepada guru-guru dengan cara memantau anak-anak kita di rumah kerana pendidikan tidak formal itu bermula dari rumah. Disiplinkanlah anak-anak kita dengan pendidikan moral dan rohani seawal usia mereka masih kecil hinggalah remaja kerana tempoh tersebut adalah waktu yang paling kritikal dalam mereka mencari identiti diri. Di samping itu, kita sebagai ibu bapa perlulah sentiasa berdoa supaya Allah s..w.t membantu kita dan guru-guru agar sama-sama berjaya mendidik anak-anak ini agar menjadi insan yang berguna di dunia dan bahagia di akhirat.

Buat warga guru khasnya, terima kasih cikgu kerana pengorbanan, kasih sayang dan kesabaran anda mendidik anak-anak bangsa.

SELAMAT HARI IBU..

Sahabiah yang dikasihi...mari kita renung sebuah kisah yang dipetik dari sebuah athar yang menunjukkan keutamaan berbakti kepada ibu. Diriwayatkan dari 'Atha' bin Yasar, dari Ibnu 'Abbas seraya berkata,"Aku telah meminang seorang wanita, namun wanita itu menolak untuk berkahwin denganku.Kemudian ada lelaki lain yang meminangnya dan ternyata ia sudi berkahwin dengan lelaki tersebut.Aku pun cemburu hingga membawaku membunuh wanita tersebut.Lalu, adakah Allah swt menerima taubatku?"Ibnu Abbas r.h berkata,:Apakah ibumu masih hidup?"
"Tidak,"jawab lelaki tersebut.
"Bertaubatlah kepada Allah dengan melakukan amal soleh kepada-Nya semampu yang boleh."
Atha' bin Yasar berkata,"Aku pergi bertanya kepada Ibnu Abbas,'Kenapa engkau bertanya tentang kehidupan ibunya(masih hidup atau tidak)?'."
Ibnu Abbas r.h menjawab, "Sesungguhnya tidak ada suatu amalan kebaikan yang lebih mendekatkan diri kepada Allah swt selain daripada berbakti kepada ibu."
(Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad dan disahihkan dalam As-Sahihah no.2799)

Oleh kerana berbakti kepada orangtua amnya dan ibu khasnya telahpun termaktub perintah itu dalam ajaran Islam, maka keperluan kepada perayaan Hari Ibu untuk mengenang jasa-jasa seorang ibu dan menjadikan tarikh tersebut sebagai 'moment' untuk memberi hadiah buat ibu, atau memberi cuti kepada ibu dari pekerjaannya pada tarikh tersebut tidak lagi menjadi kemestian. Kerana dalam Islam, haruslah berbuat baik kepda orangtua sampai bila-bila pun.Di setiap waktu dan dalam setiap situasi tanpa perlu menunggu tibanya Sambutan Hari Ibu yang sudah pasti merupakan suatu perayaan yang diada-adakan tanpa perintah agama.Bahkan taklid kepada budaya Barat yang sememangnya tidak mengenal istilah 'berbakti kepada ibubapa' dalam budaya mereka.

Justeru itu, railah Hari Ibu seadanya...tetapi apa yang lebih mustahak dan utama ialah sentiasa mengenang jasa dan pengorbanannya, menghormatinya setiap waktu dengan menjaga tutur kata dan tingkahlaku serta kesantunan kita di hadapan ibu.Doakan selalu kesejahteraan ibu kita sama ada dia masih ada bersama kita ataupun telah kembali kepada Ilahi.

REHLAH NISA'

Pada 22 dan 23 April 2011 yang lalu, Nisa' Saujana Utama telah menyertai program Rehlah Remaja Nisa' anjuran Biro Muslimat Surau Al-Hidayah Saujana Utama.Penyertaan remaja perempuan adalah seramai 24 orang. Pihak Nisa' merasa sangat bertuah kerana dapat menyertai program tersebut. Rehlah tetapi dapat membina minda dan keperibadian muslimah solihah. Banyak ilmu yang dapat ditimba dari program tersebut. Slot ceramah bertajuk 'Berani Bersuara' melatih Nisa' menjadi muslimah yang berani ke hadapan di samping menjaga tata susila seorang muslimah. Slot ceramah pada keesokan harinya pula, kami dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dengan seorang penceramah tentang kepentingan dakwah melalui akhlak dan syakhsiyah. Menurut beliau, tidak memadai jika dakwah hanya disampaikan melalui lisan tetapi dakwah perlu disampaikan dalam bentuk yang lebih berhikmah, ilmiah dan sentiasa mendokan kebaikan untuk mad'u kit agar Allah memberinya hidayah.Selain itu kami diberi pemantapan ilmu fardhu ain tentang pelaksanaan solat secara masbuq dan muwafiq-teori dan amali.Kakak-kakak fasi banyak membantu memahamkan kami tentang pelbagai soalan yang kami ajukan.
Pada petang hari terakhir sebelum bertolak balik, pihak penyelaras program telah memberi keizinan kami mandi di kolam renang. Kolam renang tersebut tertutup, jadi dapatlah kami mandi dengan aman dan selesa. Hujung minggu kami kali ini akhirnya terisi dengan sesuatu yang sangat berfaedah untuk remaja seperti kami.Kelab Remaja Surau al-Hidayah @ Nadi al-Hidayah mengucapkan jazakumullahukhairan kathira di atas sokongan padu yang diberikan oleh pihak Jawatankuasa Surau al-Hidayah.

NISA' LIQA' 2



DISKUSI BUKU:GOLONGAN YANG TERCICIR DI SEPANJANG JALAN DAKWAH
TAHNIAH MUSLIMAH! Kehadiran begitu ramai muslimah telah menjadi perangsang & pencetus semangat kepada pihak penganjur untuk meneruskan usaha kami. Peringatan naqib malam tadi betul-betul menyentuh nurani kami...Betapa perjuangan menegakkan agama Allah swt banyak rintangannya, onak dan duri yang sudah semestinya adalah laluan hidup seorang yang ingin bergelar pejuang agama Allah swt...dan ramai di sepanjang perjalanan itu tercicir, rebah malah ada yang gugur sebelum berjuang..Sahabiah sekelian, ana menyeru diri ana dan sahabat sekelian agar jangan jemu, jangan berputus asa, cubalah mencari cara-cara untuk mengatasi alasan yang didatangkan oleh nafsu jahat yang sentiasa mencari ruang dan peluang agar kita leka daripada menunaikan tanggungjawab sebenar kita sebagai khalifah Allah swt. Amanah ini akan kita jawab di hadapan Allah swt, di mahkamah pengadilan Allah swt nanti.
Walau bagaimanapun sibuknya kita dalam mengurus suami dan anak-anak, namun dengan keadaan (waqi') pada hari ini amat menuntut sumbangan muslimah dalam membantu membetulkan ketempangan yang berlaku di dalam masyarakat sekeliling dan kepimpinan amnya.Muslimah perlu mula mengorak langkah menyusun masa, strategi agar sentiasa ada ruang dan peluang untuk berdakwah secara langsung atau tidak langsung. Janganlah sekadar menjadi pemerhati & pengkritik, tetapi marilah bersama-sama NISA' membetulkan keadaan & menyampaikan mesej Islam sama ada dakwah billisan, bil kitabah atau bil hal..Mari sama-sama hayati dan renungi nasihat ini..

“Usrah bukan majlis ilmu, tetapi sebahagian daripada faedah usrah adalah ilmu.

Ia juga bukan medan untuk isu-isu semasa, namun mengetahui perkembangan semasa adalah sebahagian daripada pencapaian usrah.

Begitu juga dengan ukhuwwah, ia bukan agenda usrah, tetapi salah satu manfaat usrah adalah terhasilnya ukhuwwah.

Usrah adalah medan yang mencantumkan ilmu, isu semasa dan ukhuwwah, untuk suatu agenda yang lebih besar iaitu membentuk syakhsiah muslim. Menghasilkan manusia muslim” -saifulislam.com


Sahabiah sekelian, walaupun Saiditina Khadijah r.a seorang mujahidah, sentiasa memberi sokongan padu kepada perjuangan Rasulullah saw, sanggup apa saja harta benda miliknya dikorbankan untuk Islam sekalipun tulang belulangnya turut dijadikan taruhan sekiranya itu dapat membantu perjuangan Rasulullah saw menyebarkan Islam. Namun jangan lupa ketika itu Saidatina Khadijah mempunyai 7 cahayamata dan tidak pernah dimadukan dengan mana-mana isteri Baginda kerana 3 tahun selepas kewafatan Saidatina Khadijah barulah Rasulullah saw mengahwini seorang janda yang sudah lanjut usianya. Ini membuktikan walaupun Saidatina Khadijah sibuk dengan tanggungjawab pengurusan rumahtangga tetapi tidak mengabaikan kewajipan berdakwah biarpun suaminya seorang yang memikul amanah yang sangat besar berbanding dengan suami kita.Jelas bukan?Kaum hawa sebenarnya mempunyai potensi tenaga, idea yang hebat tetapi bakat itu tidak pernah diserlahkan dan dimanfaatkan.Tepuk dada, tanya iman...
Sekadar itu coretan ana untuk dikongsi bersama. Semoga dapat mengingatkan diri ana dan diri sahabiah sekelian.

nisa@kerajaan negeri Selangor


Skim Mesra Usia Emas

Skim Mesra Usia Emas (SMUE), merupakan satu skim khairat kematian yang diwujudkan khusus untuk menjaga kebajikan rakyat Selangor.Bertujuan membantu keluarga warga emas / OKU yang memenuhi syarat dan berdaftar yang meninggal dunia tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi, dan kedudukan sosial mereka.Borang dan pendaftaran adalah PERCUMA.Sila rujuk laman sesawang skim mesra usia emas iaitu http://mes.selangor.gov.my/mes/lang/malay/article.php?article=190


Skim Kesihatan Wanita:Mammogram Selangor(MammoSEL)


Kempen “Satu Juta Wanita Selangor Sihat" - Mammogram percuma bagi wanita Selangor berumur 35 tahun ke atas. Hubungi 1-300-800-800 atau Pusat Khidmat DUN anda untuk mendaftar.



Program Ibu Tunggal Selangor
Salah satu objektifnya ialah sebagai sumber penyelaras dan perlaksanaan kursus-kursus kemahiran dan peningkatan pengetahuan bagi meningkatkan pengupayaan kapasiti (capacity building) ibu tunggal dan keluarga.
Portal Informasi Ibu Tunggal
Sila hubungi:
Tingkat 5, Bangunan SSAAS,
40503 Shah Alam, Selangor
Tel : 03-55447921
Fax : 03-55196706