PERJALANAN HIDUP SEORANG MUROBBI/ DAIE



Seorang daie ibarat seperti sebuah kenderaan bermotor. Kenderaan bermotor dan bahan api tidak dapat dipisahkan seperti seorang daie yang tidak dapat dipisahkan dengan tarbiyyah.

Bahan api yang digunakan mengikut kesesuaian dan jenis kenderaan bermotor. Ada yang menggunakan petrol, ada yang menggunakan diesel, ada yang menggunakan NGV dan kenderaan hybrid menggunakan hydrogen sebagai bahan api. Bahan api yang paling popular masakini adalah petrol. Bekalan petrol ibarat nyawa bagi sesebuah enjin dan sangat penting untuk menghasilkan pembakaran dan menggerakkan piston dalam enjin. Maka, untuk setiap perjalanan, tangki petrol perlu sentiasa diisi.

Sesebuah kenderaan akan bergerak selagi mana bekalan petrol sebagai bahan bakar masih wujud. Petrol ibarat nyawa bagi sesebuah enjin, sekiranya petrol kering dan tidak diisi, enjin akan mati dan tidak akan dapat meneruskan kerja lantas membantutkan perjalanan.
Oleh sebab itu, isipadu petrol perlu sentiasa berkadar langsung dengan sejauh mana kilometer perjalanan. Lebih jauh sesebuah perjalanan, lebih banyak bekalan petrol yang diperlukan. Bekalan ini perlu sentiasa mencukupi. Sebuah kenderaan perlu mengisi bekalan petrol pada waktu-waktu tertentu bagi menampung perjalanan seterusnya.

Pemilihan jenis bahan api juga mesti tepat dan sesuai. Jika enjin petrol diisi dengan diesel, maka rosaklah sesebuah kenderaan tersebut.

Petrol Seorang Daie Dalam Dakwah Dan Tarbiyyah

Dakwah ini merupakan perjalanan yang sangat jauh dan panjang. Sebuah perjalanan yang sukar dan berliku-liku. Bekalan yang benar-benar mencukupi sangat diperlukan untuk memikul dan meneruskan perjalanan misi ini. Seorang daie akan pendek nafas dan mungkin tercicir daripada landasan ini seandai bekalan tarbiyyahnya tidak mencukupi. Begitulah perkaitannya dengan bahan api atau petrol sesebuah kenderaan. Tarbiyyah umpama petrol dalam misi perjalanan dakwah. Usrah, halaqah, daurah, jaulah etc. adalah stesen-stesen minyak bagi mengisi bekalannya. Tugas-tugas dakwah tidak dapat diteruskan seandainya bekalan tarbawi tidak mencukupi. Bagaimana mungkin seorang daie mampu bergerak sedangkan jiwanya kosong. Atas dasar apakah daie menggerakkan dirinya di atas jalan dakwah yang panjang dan berliku ini jika jiwanya lemah dan kosong.

Andai bekalan seorang daie tidak mencukupi dan tidak diisi, mungkin akan berlaku seperti enjin kenderaan yang kehabisan petrol. Ia akan futur dan terhenti. Untuk menggerakkannya kembali, usaha mengisi bekalan petrol kepada daie perlu dilakukan agar terus menggalas misi dakwah dan tetap berada di atas jalan dakwah ini. Tarbiyyah adalah petrol seorang daie.

Begitu juga halnya jika seorang daie mendapat bekalan yang tidak tepat dan salah. Jiwanya memerlukan petrol iman, namun diesel kemaksiatan yang diisi ke dalam tangki enjin hatinya. Jika hal ini berlaku, rosaklah daie tersebut dan memaksa proses pengislahan yang mungkin memakan tempoh masa yang lama. Banyak juga tenaga, masa dan wang yang perlu dilebur. Nauzubillaah.

Bekalan kekuatan iman yang mendalam dan tarbiyyah yang berterusan adalah pembakar enjin daie yang menggerakkan dakwah ini. Tarbiyyah merupakan petrol bagi daie dan bekalan petrol ini perlu sentiasa mencukupi kerana tarbiyyah umpama nyawa bagi seorang daie

Bagaimana tarbiyyah kita? Cukupkah untuk perjalanan yang panjang, jauh dan payah ini?

0 comments:

Post a Comment