SELAMAT HARI GURU

Tanggal 16 Mei merupakan hari bersejarah yang disambut setiap tahun sebagai menghagai jasa dan pengorbanan warga pendidik. Selamat Hari Guru buat semua warga pendidik sama ada di taska, tadika,sekolah rendah atau menengah, IPTA dan IPTS!Bertuahnya anda apabila anda seorang pendidik di sekolah, anda mempunyai murid-murid yang apabila anda ditimpa kesusahan dan keuzuran mereka akan mendoakan kesejahteraan anda, apabila anda pergi mengadap tuhan, mereka membaca yasin untuk anda. Martabat guru sangat mulia kerana mereka adalah insan yang tidak pernah jemu mendidik anak-anak bangsa agar menjadi insan berjaya dan bahagia.

Jika anda yang membaca artikel ini merupakan seorang warga pendidik ataupun sebaliknya, marilah kita renung dan perhatikan kenapa hari ini anak-anak apabila berada di peringkat menengah atas, mereka kurang menghargai guru mereka berbanding anak-anak di sekolah rendah. Pandangan peribadi penulis sebagai analogi bahawa nilai itu hanya ditanam di peringkat sekolah rendah sahaja tetapi nilai itu menjadi kian pudar saban tahun apabila anak-anak mula meningkat remaja. Lebih-lebih lagi apabila tiada campurtangan dan sikap ambil berat ibu bapa di rumah. Bukan itu saja, kebanyakan kes yang berlaku di sekolah menengah, segelintir anak-anak remaja kurang menghormati guru apatah lagi guru wanita baik dalam tutur kata mahupun tingkahlaku.Ini ditambah lagi dengan kes-kes disiplin remaja yang semakin kronik dewasa ini. Tugas dan tanggungjawab guru semakin mencabar apabila mereka terpaksa mengawal emosi dan terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah anak-anak murid yang datang dari pelbagai latar belakang.

Oleh itu, kita sebagai ibu bapa perlu memberi sokongan kepada guru-guru dengan cara memantau anak-anak kita di rumah kerana pendidikan tidak formal itu bermula dari rumah. Disiplinkanlah anak-anak kita dengan pendidikan moral dan rohani seawal usia mereka masih kecil hinggalah remaja kerana tempoh tersebut adalah waktu yang paling kritikal dalam mereka mencari identiti diri. Di samping itu, kita sebagai ibu bapa perlulah sentiasa berdoa supaya Allah s..w.t membantu kita dan guru-guru agar sama-sama berjaya mendidik anak-anak ini agar menjadi insan yang berguna di dunia dan bahagia di akhirat.

Buat warga guru khasnya, terima kasih cikgu kerana pengorbanan, kasih sayang dan kesabaran anda mendidik anak-anak bangsa.

0 comments:

Post a Comment