WANITA DAN BARANG KEMAS DARI EMAS DAN PERAK


Barang perhiasan terutama emas dan perak adalah sinonim dengan wanita. Kaum adam pun ada hati nak pakai barang kemas. Itulah antara tanda-tanda kecil kiamat.Namun ada beberapa perkara yang perlu diteliti.Antaranya dari sudut nilai gram yang kita miliki akan menentukan sama ada kita perlu atau tidak membayar zakat emas dan perak.Perkara ini jangan dipandang remeh kerana sepertimana harta-harta pemilikan yang lain seperti tanaman, ternakan, juga dikenakan zakat. Harta yang lebih itu adalah hak orang lain yang lebih memerlukan.Maka ia mestilah dizakatkan. Kalau kita rasa sayang, kembalilah menghayati firman Allah yang bermaksud;"...jika kamu bersyukur akan Ku tambah rezekimu dan jika kamu kufur sesungguhnya azabKu sangat pedih."
Emas dan perak wajib dizakatkan sekiranya cukup syarat. Bagi perak ia termasuk perhiasan atau barangan yang disimpan. Ia dikira mengikut harga 1 gram perak semasa. Ini adalah berdasarkan Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“…dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya (zakat) pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Taubah: ayat 34-35)
Begitu juga dengan Hadis Nabi S.A.W. riwayat daripada Muslim yang bermaksud:
"Tidak ada seorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan ke lambung, dahi dan belakangnya, setiap kali ia sejuk dipanaskan semula, pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hambaNya.”
(Riwayat Muslim)
Emas yang disimpan dan dipakai wajib dizakatkan sekiranya cukup syarat. Emas yang disimpan bermaksud emas yang tidak digunakan atau tidak dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram. Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada nilai emas semasa sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya.
Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) sekali-sekala atau secara berterusan dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Walau bagaimanapun jika ia melebihi 'uruf maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar 2.5% atas nilai emas yang dipakai. Kadar uruf emas di negeri Selangor ialah sebanyak 800 gram. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja dan tidak termasuk batu permata atau seumpamanya.
Barang kemas yang dipakai tidak dikenakan zakat selagi ianya tidak melebihi had pemakaian yang dibenarkan. Di Selangor, zakat akan dikenakan sekiranya barang kemas yang dipakai itu melebihi 800 gram.

0 comments:

Post a Comment